Sunday, March 20, 2011

Ziarah dalam Madinah



Masjid Nabawi
Masjid Nabawi adalah merupakan masjid yang kedua paling mulia bagi umat Islam selepas Masjidil Haram. Malah, di sini jugalah terletaknya Maqam Rasulullah SAW dan maqam kedua-dua sahabat rapat Baginda iaitu Saidina Abu Bakar r.a dan Saidina Umar Al-Khatab r.a.
Mengikut catatan sejarah, Masjid Nabawi ini didirikan di tempat berhentinya unta yang di naiki baginda ke Kota Madinah ia itu di hadapan rumah Ayub Al-Ansari. Tapak pembinaan masjid tersebut adalah merupakan sebidang tanah yang dihadiahkan oleh dua putera Amru iaitu Sahal dan Sahil untuk didirikan masjid tersebut.Walau bagaimanapun, Rasulullah SAW telah membelinya dengan harga sepuluh dinar wang emas yang dibayar oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a.
Sebagai permulaannya, sebuah masjid sementara telah dibangunkan. Ianya didirikan daripada binaan batang dan daun-daun pokok kurma serta batu-bata. Masjid ini kemudiannya dibesarkan dari masa ke masa sehinggalah menjadi masjid yang indah seperti yang dapat kita saksikan sekarang.
Maqam Rasulullah 
Pada tahun-tahun awal Masjid Nabawi, Maqam Rasulullah SAW seperti juga rumah baginda serta rumah Saidatina Fatimah adalah terletak di sebelah bangunan masjid tersebut. Tetapi kemudiannya apabila masjid tersebut mengalami pembesaran, maqam baginda dengan sendirinya masuk ke dalam kawasan masjid.
Kini Maqam Rasulullah SAW dan dua sahabatnya Saidina Abu Bakar r.a dan Saidina Umar r.a terletak di bahagian hadapan Masjid Nabawi, di dalam kawasan berpagar. Di bumbung binaannya tergantung kubah berwarna hijau.

Apabila anda masuk melalui Pintu Babus Salam, Maqam Rasulullah SAW akan berada di sebelah kiri.Terletak selangkah ke kanan Maqam Rasulullah SAW ialah Maqam Saidina Abu Bakar r.a dan selangkah kehadapan lagi ialah Maqam Saidina Umar Al Khatab r.a.
Berilah salam kepada Baginda dan dua sahabatnya dengan membelakangkan Kiblat menghadap ke Maqam. Apabila berdoa hendaklah menghadap ke Kiblat.

No comments:

Post a Comment